June 10, 2011

Kelebihan Kain Kapas

FABRIK kapas, fabrik paling sesuai dipakai di negara beriklim tropika seperti Malaysia. Sifatnya yang sejuk, tahan lasak membolehkan ia berupaya menyerap peluh. Fabrik berkenaan dikatakan bersifat fiber dan mampu menyerap 25 peratus daripada kapasitinya di samping menghasilkan pengaliran udara yang baik pada badan.Selain faktor keselesaan kepada pemakai, fabrik kapas juga unik kerana memberikan imej muda kepada pemakainya, lebih-lebih lagi bercorak bunga.
Jika dulu masyarakat mengaitkan baju kurung kain kapas sebagai koleksi pakaian orang tua zaman dulu, kini ramai anak muda lebih gemar mengenakan baju kurung fabrik berkenaan kerana nampak ringkas dan bersahaja.Fabrik itu ditambah dengan pelbagai reka corak dan warna supaya dapat memberi pilihan kepada pelanggan.
Fabrik kapas Inggeris mempunyai corak bunga ros halus sekata pada seluruh badan kain. jenis berkenaan menggunakan warna lembut, tetapi kadangkala tampak kusam dengan fabrik lebih tebal dan berat, namun kapas Inggeris ini paling digemari ramai.Jika dahulu, apabila bercakap mengenai kain kapas, orang akan membayangkan kain murahan yang biasanya dibuat baju tidur, baju Kedah, baju kanak-kanak, langsir atau sarung bantal. Namun kini kain kapas menjadi pilihan semua golongan dan pilihan kain kapas juga meluas. Terdapat kain kapas Swiss, Jepun, Indian lawn, Inggeris dan Indonesia.
Keindahan corak kain kapas yang pelbagai yang bukan hanya corak bunga-bungaan malah dengan banyak pilihan contohnya corak jalur, abstrak, polka dot dan sebagainya menjadikan kain kapas yang telah dijadikan baju kurung tampil eksklusif.
Golongan dewasa boleh memilih corak yang bersesuaian seperti bunga-bungaan besar, jalur, daun pasli, pakis dan sebagainya. Sementara kanak-kanak manis dengan corak bunga-bunga kecil. Selain untuk baju kurung, kain kapas juga pilihan yang amat sinonim dengan fesyen gaun smocking kanak-kanak.
Tarikan lain ialah pilihan warna-warna kain yang terang dan ceria sekali gus membangkitkan kegembiraan di hati si pemakai baik dewasa atau kanak-kanak. Kini corak kain kapas lebih dipelbagaikan di mana corak untuk bahagian baju dan kain dibuat berbeza. Contohnya jika bahagian baju bercorak bunga kecil, bahagian kain pula dengan corak bunga yang lebih besar.
Ibu-ibu juga lebih gemar memilih jenis kain kapas bagi dijadikan baju anak kerana keselesaan. Kanak-kanak yang tidak selesa dengan baju yang dipakai sudah pasti akan meragam. Perubahan ini berjaya mengangkat martabat kain kapas itu sendiri dan bukan lagi menjadi pilihan pakaian untuk golongan bawahan. Oleh itu, tidak hairanlah kain kapas yang telah dijadikan baju kurung kini mencecah harga hingga ratusan ringgit apa lagi jika ditambah dengan hiasan manik.

No comments:

Post a Comment